Oleh Muhammad Aiman

Pelumba Orelac Racing, Zulfahmi Khairuddin mencuri tumpuan peminat sukan permotoran apabila menjejak podium buat kali pertama bagi kelas Supersports Kejohanan Superbike Dunia – Pusingan Malaysia setelah menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di Litar Antarabangsa Sepang petang tadi.

Pelumba berusia 24 tahun itu yang bermula dari petak kelima, terlepas peluang untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama meskipun mendahului seawal pusingan pertama hinggalah ke pusingan kesebelas, sebelum dia dipotong Aryton Badovini.

Kedua-dua pelumba itu kemudiannya saling bertukar kedudukan pendahulu pada pusingan ke-12 dan 14 (pusingan akhir) namun ianya pelumba Itali itu yang mewakili Gemar Balloon-Team Lorini yang muncul juara dengan catatan 33 minit 22.944s, menewaskan Zulfahmi dengan kelebihan hanya 0.050s.

Pelumba Britain, Gino Rea dari GRT Racing Team melengkapkan kedudukan podium dengan menduduki tempat ketiga dengan catatan 33 minit 23.924s.

Zulfahmi yang ditemui selepas perlumbaan, berkata dia berkeyakinan tinggi dapat memenangi perlumbaan ini kerana ‘set up’ motosikal yang bagus malah berjaya menguasai hampir keseluruhan perlumbaan, hanya untuk dikecewakan pada empat pusingan terakhir.

“Pada pusingan terakhir, saya sebenarnya yakin dapat memintas semula dia (Badovini) ketika di selekoh terakhir. Tapi bila sampai di selekoh terakhir, saya terlebih menekan brek dan tidak boleh terus memecut dengan baik,” kata pelumba berasal dari Banting itu.

Tambahnya, “Saya harap untuk perlumbaan seterusnya, saya akan dapat memahami keadaan trek dengan lebih cepat. Saya akan cuba untuk mencatat masa terbaik dalam sesi latihan bebas untuk terus bersaing dalam Superpole 2 untuk sekali mendapat kedudukan yang baik.”

Ini adalah musim pertama Zulfahmi bertanding dalam siri Supersports setelah enam tahun bertanding dalam saingan Moto 3, kategori terendah dalam Kejohanan MotoGP Dunia.

Kejohanan Superbike Dunia yang seterusnya akan berlangsung di Lita Donington Park, United Kingdom dari 27 – 29 Mei depan.

- Advertisement -